SEREMBAN: Pelumba Cub Prix, Zaidy Mohamad Zaifaizal Mahendran, tidak sempat menyambut kelahiran anak ketiganya apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 22.9 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) arah utara, dekat Pajam, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang berusia 27 tahun terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur.
Isterinya, Nurul Ain Nor Azli, 24, yang sarat mengandung lapan bulan, mengetahui mengenai tragedi menimpa suaminya selepas dimaklumkan oleh kakak ipar pada jam 2.30 pagi.
"Saya berada di rumah bersama dua anak lelaki berusia lima dan dua tahun di Selayang. Saya terima panggilan daripada kakak ipar memberitahu suami terbabit kemalangan.
"Saya hubungi telefon bimbit suami untuk mendapatkan kesahihan tetapi seorang lelaki menjawab panggilan dan memberitahu suami saya sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, hari ini.
Nurul Ain berkata, Allahyarham menjemputnya pulang dari bekerja di Kuala Lumpur sebelum keluar semula untuk bertemu rakan.
Abang sulung mangsa yang mahu dikenali sebagai Zaiernan Hady, 30-an, berkata Zaidy menghubunginya kira-kira jam 9 malam tadi dan menyatakan hasrat untuk bersara daripada dunia perlumbaan.
"Arwah juga minta dihalalkan jika ada berhutang. Saya pelik dengan pertanyaan itu tetapi tidak menyangka apa-apa sehinggalah dimaklumkan mengenai kejadian," katanya.
Jenazah dibawa pulang ke kampung halaman mangsa di Batu Feringghi, Pulau Pinang untuk dikebumikan selepas solat Asar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata siasatan awal mendapati motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa gagal dikawal ketika dipercayai cuba mengelak objek di atas jalan, menyebabkan mangsa terbabas ke lorong kanan.
Pada masa sama, katanya, seorang penunggang, Dzul Fikar Idris, 27, yang berada di lorong tengah cuba mengelak daripada melanggar motosikal mangsa hingga menyebabkannya terbabas lalu terjatuh.
"Zaidy disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Dzul Fikar hanya cedera ringan," katanya sambil menambah siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
0 Response to "Pelumba Cub Prix maut nahas"
Posting Komentar