Etak Kak Jah naik kapal terbang




TUMPAT - Disebalik renyahnya menghasilkan etak salai, peniaga, Mek Jah Sulaiman, 64, di Kampung Kok Keli tidak menyangka etaknya dibawa menaiki kapal terbang.

Mek Jah berkata, ada perantau merindui etaknya dengan rasa lemak masin sehingga sanggup membawa pulang etak ke Kuala Lumpur menaiki kapal terbang.

"Biasanya cuti sekolah ramai yang datang beli etak nak bawa balik ke Kuala Lumpur.

"Terkejut jugalah kali pertama dengar etak saya nak bawa naik kapal terbang, tapi bila dah selalu berdepan situasi itu, saya  proses lebih etak pada musim cuti sekolah.

"Ada yang datang beli RM50, RM30 pun ada,  memang tak menang tangan, pagi-pagi lagi dah ada pelanggan tunggu etak salai masak," katanya.

Hasil pendapatan berniaga etak dengan untung bersih RM50 sehari, dia membesarkan 10 anak bersama suaminya, Husien Ali.

Bagaimana pun, selepas suaminya meninggal dunia 18 tahun lalu, Mek Jah kini dibantu dua anaknya, Mohd Khalid  Husien, 25 dan Saiful Azmi  Husien, 32 memproses etak spesis kerang seawal jam 7 pagi di bangsal berdekatan rumahnya.

Mek Jah atau mesra dipanggil kak Jah berkata, biasanya setiap hari sebanyak 50 kilogram etak diproses dengan cara tradisional iaitu dimasak salai di atas bara sabut kelapa.

"Nampak rumit sebab kena bahang api dan asap sabut, nak bagi etak masak sekata kena selalu kacau etak yang disalai selama sejam setengah.

"Hanya orang Kelantan yang tahu cara makan etak salai ini, kulit etak perlu dibuka dengan gigi, seminggu tak makan dah ada yang rasa kemaruknya.

"Sangat sedap dimakan begitu saja atau dimakan dengan nasi kerabu," katanya.

Menurutnya, sebelum disalai etak itu perlu diperap dengan rempah ratus campuran bawang putih, halia, serai, halba dan garam selama dua jam.

Mek Jah berkata, garamnya perlu secukup rasa, sekiranya terlebih garam akan rasa masin dan pengalaman selama 30 tahun membuatkan etak air tangan Mek Jah secukup rasa.

"Biasanya jam 11 pagi etak salai saya sudah masak dan dijual di bangsal tepi jalan di hadapan rumah, sebungkus etak dijual RM2 dan RM5.

"Saya lebih banyak menggunakan kaedah salai berbanding menjemur etak di bawah matahari.

"Salai lebih cepat masak, kalau kaedah jemur di bawah cahaya matahari ia bergantung faktor cuaca tetapi kaedah jemur lagi sedap kerana rempah melekat dikulit etak," katanya.

Mek Jah berkata, dia membeli etak daripada pembekal yang mendapat bekalan etak dari Terengganu dan Thailand.

0 Response to " Etak Kak Jah naik kapal terbang"

Posting Komentar

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==