Hilang di KL, jumpa di Batu Pahat




BATU PAHAT: Pegawai Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang dilaporkan hilang di ibu negara sejak 12 Februari lalu, ditemui dalam keadaan terlentang tidak sedarkan diri di hadapan rumah neneknya di Kampung Bintang, Peserai dekat sini, jam 4 petang tadi.

Azmee Elias, 36, yang juga Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Mahkamah Syariah Jalan Duta, ditemui oleh bapa saudaranya, kira-kira 236 kilometer dari lokasi terakhir beliau dilihat iaitu di tempat kerjanya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata Azmee kini dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Katanya, polis dimaklumkan mengenai penemuan itu oleh isteri beliau, Natasha Abd Rahim, 30.

"Ketika ditemui, mangsa berkeadaan terlentang di hadapan pintu rumah neneknya itu dan tidak sedarkan diri.

"Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan, mendapatkan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

"Azmee kini dirawat dan dikawal ketat di HSNI manakala pegawai penyiasat serta anggota dari Putrajaya dalam perjalanan ke Batu Pahat untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kehilangan Azmee sejak 13 hari lalu mencetuskan misteri apabila tiada petunjuk ditemui.

Pada 17 Februari lalu, polis menemui kereta Perodua Alza milik mangsa yang ditinggalkan dalam keadaan berkunci di Jalan Jenderam, Dengkil, Selangor sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya.

Usaha mencari Azmee turut diperluaskan sekitar 100 kilometer (km) dari kawasan itu.

Dia kali terakhir dilihat di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 12 Februari lalu dengan memakai baju berwarna gelap dan berseluar kelabu, selain berkaca mata.

0 Response to "Hilang di KL, jumpa di Batu Pahat"

Posting Komentar

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==